PARTI Amanah meluluskan permohonan Datuk Husam Musa untuk melepaskan jawatan sebagai Naib Presiden parti berkenaan.
Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abd Samad, berkata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Nasional Amanah pada 6 September lalu.
“Permohonan peletakan jawatan itu adalah untuk membolehkan beliau memberikan tumpuan kepada usaha memenangkan kerusi untuk Amanah di Kelantan, khasnya di kawasan Parlimen Kota Bharu yang diketuainya.
“Memandangkan kebolehan dan kemampuan beliau masih diperlukan di peringkat nasional, Jawatankuasa Nasional Amanah mengambil keputusan meminta Husam berperanan memantau dan bertindak sebagai penasihat kepada tiga biro Amanah dalam persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
“Tiga biro ini adalah Biro Pilihanraya, Biro Komunikasi dan Biro Strategi. Kertas cadangan berhubung peranan baharunya sedang disediakan untuk persetujuan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, laporan yang mendakwa peletakan jawatan Husam itu disebabkan tidak berpuas hati dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu atau mana-mana pimpinan parti, adalah tidak berasas.
“Sebaliknya, ianya dilakukan demi melonjak dan mengukuhkan lagi kedudukan Amanah di Kelantan, khususnya di Kota Bharu,” katanya.
Ia susulan laporan sebuah portal berita semalam mendakwa Husam meletakkan jawatan sebagai Naib Presiden Amanah.
Namun, Husam menafikan khabar angin itu dengan menyifatkannya sebagai tidak betul dan satu rekaan. -Malaysiapost

