25 kerbau ‘Mowgli Malaysia’ mati

0
1

Nilam Oshman

LEBIH 25 kerbau milik bapa ‘Mowgli Malaysia’, Khamis Jusoh atau lebih kenali Pak Khamis, mati secara mengejut di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu hari ini.

Mohd Syukor yang dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ memuat naik mengenai kejadian itu di Facebooknya pagi tadi.

Menurut hantaran itu, remaja berusia 15 tahun itu berkata penyebab kematian kerbau tersebut mungkin akibat wabak, justeru dia dan keluarga redha dan berdoa semua musibah ini cepat berlalu.

“Dugaan besar buat kami sekeluarga… mungkin sekarang musim wabak…kami sekeluarga mengharapkan doa dari semua agar musibah ini segera berakhir…,” katanya.

Sementara itu, jurugambar terkenal, Dollah Deen Photography atau nama sebenarnya Abdullah Mohd Zain turut berkongsi berita sedih tersebut di Facebooknya.

“Khabar duka dari Kandang Pak Khamis di Kampung Banggol Katong, Serada. Setakat pagi ni dah lebih 25 ekor kerbaunya mati secara mengejut.

“Tiada bahasa dapat Syukor dan ayahnya Pak Khamis luahkan, cuma linangan air mata dan harapan doa dari orang ramai sahaja yang diharapkan.

“Selebihnya berserah kepada Allah SWT, semoga ada sinar baik untuk keluarga ini dalam menghadapi dugaan ini,” katanya.

Mohd Syukor menjadi popular selepas gambar memaparkannya sebagai subjek utama, duduk bersandar pada kerbau kesayangannya dinamakan Awang di kawasan lumpur, tular di media sosial.

Karya oleh Mohd Nazri Sulaiman itu kemudian diangkat sebagai Imej Asia 2018 oleh Asian Geographic, bagi kategori Jalanan/Orang Terbaik.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Zulkifli Mohd Al-Bakri berharap Pak Khamis dan anaknya, Mohd Syukor sabar menghadapi ujian.

“Pagi ini menerima berita kematian tiba-tiba 25 ekor kerbau Pak Khamis di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu.

“Kepada anakanda Syukor sekeluarga, banyakkan bersabar. Saya dimaklumkan, Syukor dan Pak Khamis amat sedih sekarang,” katanya.

Beliau turut memberi nasihat dan pesanan kepada diri dan orang lain bahawa setiap yang hidup pasti akan mati, sentiasa ingat pada yang maha Esa dan jangan terlalu sedih kerana itu adalah kehidupan.

“Saya ingin berpesan untuk diri saya jua semua yang membaca; hidup dan mati milik-Nya. Jasad kita juga adalah milik-Nya.

“Sedih itu hal yang biasa namun usah terlalu bersedih kerana ia adalah putaran biasa kehidupan makhluk Allah SWT. Maha Suci Allah yang mengikat pertalian kasih antara manusia dan haiwan dengan sebegitu erat,” katanya. ⁣

Katanya lagi, ada hikmah setiap perkara yang berlaku. – MalaysiaPost.