PRN Sabah: Wakil rakyat tak ‘perform’ akan digugur – Bung Moktar

0
2

PENGERUSI Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin memberi amaran akan menggugurkan mana-mana calon BN jika tidak menjalankan tugas dengan baik apabila dipilih menjadi wakil rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Bung Moktar berkata, ia bukannya ugutan, sebaliknya jaminan kepada rakyat agar wakil rakyat daripada BN yang dipilih akan bekerja bersungguh-sungguh dan berkhidmat kepada rakyat.

Katanya, ada pemimpin yang apabila dipilih menjadi wakil rakyat leka dan lalai sehingga memberi imej buruk kepada parti.

“Wakil rakyat apabila dipilih, mereka lupa mereka datang daripada rakyat, mereka leka, mereka lalai dan rakyat terbiar sehingga akhirnya parti jadi mangsa.

“Kita tidak mahu disebabkan seekor kerbau membawa lumpur, semua terpalit. Jadi mana-mana wakil rakyat yang tak ‘perform’ kita minta dia supaya berhenti,” katanya ditemui selepas program bersama rakyat di Kampung Bakau di Sandakan hari ini.

Ditanya percaturan BN meletakkan calon muda dalam PRN kali ini, Bung Moktar berkata, keputusan itu dibuat kerana mengambil kira permintaan rakyat selain kebolehan calon.

Katanya, BN menggunakan strategi dengan menampilkan kepimpinan anak muda di beberapa kerusi dan calon lama di tempat lain dengan mengambil kira keperluan untuk meneruskan perkhidmatan sedia ada.

“Ada yang mengatakan anak muda mempunyai kekuatan, ‘wisdom’, kebijaksanaan dalam urusan politik, tetapi anak muda saja tidak akan capai kejayaan.

“Ada anak muda gagal yang saya nampak di Dewan Rakyat, mereka boleh bercakap tapi cakap yang tiada impak untuk ekonomi, negara dan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Bung Moktar berkata, BN meletakkan hanya anak muda yang berketrampilan dan suaranya didengar oleh semua peringkat dan lapisan masyarakat di sebahagian kerusi pada PRN kali ini. – Malaysiapost