SEPERTI pilihan raya lalu, pelakon, Zizie Ezette setia menemani suaminya, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah berkempen.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ini, Bung Moktar yang juga Ahli Parlimen Kinabatangan akan bertanding kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag.
Ketika ditemui pada program bersama rakyat di Kampung Bakau di Sandakan, Zizie berkata, dia akan berkampung di Sabah sehingga PRN selesai bagi membantu suaminya berkempen.
“Saya akan tinggal di sini sampai PRN selesai.
“Saya akan ikut suami dan bantu kempen untuk memastikan kemenangkan BN,” katanya hari ini.
Kehadiran Zizie turut mencuri tumpuan penyokong serta penduduk setempat apabila ramai yang mengambil peluang untuk bergambar bersama pelakon itu.
Zizie dilihat turut mengingatkan setiap penyokong dan penduduk yang bergambar bersamanya untuk menyokong BN pada PRN Sabah 26 September ini.
Sementara itu, Bung Moktar berkata, biarpun bertanding pada PRN kali ini, beliau tetap menjelajah ke seluruh negeri bagi membantu calon BN yang lain untuk berkempen.
Katanya, beliau perlu membantu rakan lain yang bertanding atas tiket BN kerana ia penting untuk kemenangan parti.
“Bukan kerana saya terlalu yakin akan menang (di kerusi DUN Lamag), saya ada jentera yang bergerak terus berjumpa dengan rakyat dan pengundi,” katanya. – Malaysiapost

