SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka kertas siasatan terhadap aduan berhubung dakwaan penyelewengan dana di bawah agensi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
SPRM dalam kenyataannya berkata, pihaknya telah menerima laporan yang dibuat oleh Pengerusi Pemuda Gen Z berhubung perkara sama di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya hari ini.
“Sehubungan itu, SPRM akan meneliti dan mengkaji laporan yang dikemukakan tersebut.
“Siasatan menyeluruh akan dibuat dengan melihat pelbagai sudut termasuk proses kelulusan dan perbelanjaan oleh persatuan, individu atau syarikat yang menerima dana terbabit bagi mengesan sebarang bentuk rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Mohamed Sadique dilaporkan berkata, menteri atau Ketua Pengarah MITRA tiada budi bicara untuk mempertimbangkan mana-mana permohonan geran di bawah unit berkenaan.
Beliau menjelaskan, sebaliknya hanya Jawatankuasa Penilaian Program MITRA dan Jawatankuasa Pemantauan Program MITRA mempunyai budi bicara sepenuhnya untuk memberi kelulusan berkaitan perkara berkenaan.
Katanya, Jawatankuasa Pemantauan Program MITRA yang dipengerusikan Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara akan membuat pemantauan ke atas pelaksanaan program diluluskan bagi memastikan ia mengikut terma dan syarat serta mencapai KPI ditetapkan. – Malaysiapost

