KERAJAAN hari ini mengumumkan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) beberapa sektor bagi setiap fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) di semua negeri.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kelonggaran itu termasuk waktu operasi kawasan rehat dan rawat (R&R) yang dibenarkan beroperasi penuh 24 jam bermula esok.
Menurutnya, kenderaan e-hailing dibenarkan mengambil penumpang berdasarkan kapasiti tempat duduk kenderaan bagi semua fasa PPN juga bermula esok.
“Selain itu, pengurangan tempoh perintah pengawasan dan pemerhatian bagi pengembara dari luar negara berkuat kuasa Isnin ini.
“Kerajaan menetapkan tujuh hari kuarantin di rumah atau stesen kuarantin bagi pengembara dengan vaksinasi lengkap, manakala 10 hari kuarantin bagi pengembara yang tiada atau tidak lengkap vaksin,” katanya dalam kenyataannya hari ini.
Ismail Sabri berkata, pengurangan tempoh kuarantin bagi kontak rapat juga adalah sama berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Selain itu, katanya, kelonggaran lain termasuk pembukaan perkhidmatan pusat siber dan kafe siber dipersetujui dengan penyelarasan kapasiti berkuat kuasa Ahad ini.
“Sebanyak 80 peratus kapasiti pelanggan ditetapkan bagi Fasa 3 dan 100 peratus bagi Fasa 4 PPN,” katanya.
Sementara itu, beliau mengumumkan SOP pelaksanaan pelancongan ke luar negeri bagi tujuan umrah yang telah dibentangkan di mesyuarat Kumpulan Kerja Teknikal Pengurusan Pandemik bertarikh 27 September lalu diwartakan selaras dengan pengumuman kebenaran rentas negeri dan negara bermula Isnin lalu.
“Sehubungan itu, jemaah dibenarkan mengerjakan umrah selaras dengan keputusan memansuhkan keperluan MyTravelPass untuk ke luar negara berkuat kuasa Isnin ini,” jelas beliau.
Dalam pada itu, katanya, bagi sektor mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) dibenar secara bersemuka dan ia tertakluk buat individu yang lengkap divaksin.
“Ia dilaksana bermula 18 Oktober ini dengan syarat perlu melaksanakan ujian saringan Covid-19 sebelum acara, mematuhi penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan kapasiti 50 peratus mengikut ruang,” katanya. – Malaysiapost

