POLIS Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini bersetuju mewujudkan portal perkongsian maklumat, tenaga pakar menerusi penempatan pegawai pasukan keselamatan itu di suruhanjaya terbabit.
Menerusi kenyataan bersama dua agensi tersebut, persetujuan itu dimuktamadkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Induk PDRM-SKMM yang dipengerusikan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengerusi SKMM Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek bagi menyelaras tindakan penguatkuasaan agar lebih pantas.
“PDRM dan SKMM terus mengukuhkan jalinan kerjasama dalam membanteras jenayah serta melindungi masyarakat bagi memastikan ekosistem digital sentiasa selamat untuk pengguna,” katanya hari ini.
Sementara itu, kenyataan itu juga memaklumkan mesyuarat berkenaan turut menjurus kepada pemantapan tindakan dalam aspek siasatan, operasi, pencegahan jenayah dan pentadbiran.
“Pengukuhan kerjasama ini adalah merupakan komitmen sepenuhnya kedua-dua agensi ini dalam usaha membanteras jenayah bagi melindungi pengguna internet dalam negara termasuk dalam isu berkaitan ketenteraman awam di media sosial,” katanya. – Malaysiapost

