PENDAKWAH, Ebit Lew meluangkan masa menziarah ahli kumpulan Indigo, Bad yang kehilangan empat jari kaki kiri akibat penyakit diabetes di rumahnya, semalam.
Ebit berkata, kehadirannya untuk melihat keadaan Bad dan memberi sokongan terhadapnya.
Katanya, Bad dan isterinya terkejut dan gembira dengan kedatangannya serta memaklumkan dirinya reda atas ujian itu, selain menyifatkan ia sebagai kasih sayang daripada Allah untuk menyedarkannya.
“Petang ini (semalam) ziarah Bad Indigo. Jari kaki kirinya baru dipotong. Sampai rumahnya tadi, beliau dan isteri gembira sangat. Katanya kejutan buat kami ni. Macam tak sangka ustaz datang rumah saya. Saya terfikir nak jumpa ustaz. Allah jumpakan kita.
“Saya terima ujian ini dan merasakan ini kasih sayangnya. Menyedarkan tiada apa kita punya. Semuanya milik Allah. Saya tak rasa ia bala dan musibah. Tapi saya ia lebih pada buat saya semakin tersedar dan dekat pada Allah,” tulisnya menerusi Facebook.
Ebit berkata, mereka turut sama-sama berdoa, saling memberi nasihat dan pandangan untuk terus kuat menghadapi segala dugaan.
“Terima kasih ustaz hadiah ini. Kami berdoa dan saling berkongsi nasihat. Ujian orang lain buat kita lebih mensyukuri hidup ini,” katanya.
Mac lalu, Bad atau nama sebenarnya, Badrul Izhan Yeop Abdullah melakukan pembedahan memotong empat jari sebelah kaki kiri akibat penyakit diabetes.
Disebabkan itu, Bad kini berdepan dengan kecacatan kekal dan bergelar orang kurang upaya (OKU). – Malaysiapost

