SEJUMLAH 5,410 dos penggalak vaksin Covid-19 diberikan kepada petugas kesihatan, setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan perkara itu menerusi ciapan di Twitter tengah hari tadi.
“Setakat semalam, 5,410 dos penggalak sudah diberikan terutamanya petugas barisan hadapan kesihatan.
“Warga emas akan mula menerima dos penggalak mereka di klinik swasta berhampiran tidak lama lagi,” katanya.
Rabu lalu, Khairy memaklumkan dos penggalak vaksin Covid-19 akan mula diberikan kepada warga emas berusia 60 tahun ke atas serta anggota barisan hadapan yang sudah menerima dos lengkap sekurang-kurangnya enam bulan lalu.
Individu yang layak akan dimaklumkan melalui MySejahtera, manakala individu tanpa aplikasi itu bakal diberitahu melalui khidmat pesanan ringkas atau panggilan telefon oleh Pusat Pemberian Vaksin (PPV).
Pemberian vaksin dalam kalangan petugas barisan hadapan dan warga emas akan dilaksanakan oleh klinik swasta di bawah penyelarasan ProtectHealth Corporation Sdn Bhd, manakala kemudahan kesihatan kerajaan memberi suntikan pelalian kepada anggota kesihatan masing-masing. – Malaysiapost

