PEMIMPIN Umno perlu berhati-hati sebelum mengeluarkan kenyataan bagi mengelak berlaku masalah di kemudian hari, kata Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Beliau berkata, ini kerana kebanyakan kenyataan yang dikeluarkan adalah pendapat individu dan bukan keputusan parti.
Maka, katanya, seharusnya sebelum kenyataan itu dikeluarkan, ia perlu melalui rundingan berasaskan kepada konsultasi.
“Apa pun, saya fikir Umno harus lebih berhati-hati sebelum membuat sesuatu kenyataan kerana kadang kala kenyataan dikeluarkan sebagai pendapat individu dan boleh membawa kepada masalah kemudian kepada parti.
“Jadi dalam parti elok amalkan budaya berunding supaya kita dapat sesuatu keputusan itu berasaskan kepada konsultasi dan mengelakkan pandangan peribadi.
“Kadang-kadang pandangan peribadi ini didorong oleh sentimen tertentu yang boleh merugikan,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazzete.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata demikian selepas melancarkan Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia , hari ini.
Annuar berkata demikian ketika mengulas kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dalam satu wawancara malam kelmarin.
Dalam wawancara itu, Ahmad Zahid berkata Umno tidak akan bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Sebaliknya beliau menegaskan, Umno akan bertanding di bawah panji Barisan Nasional (BN) secara solo dan terpulang kepada rakyat memilih mana-mana parti terbaik.
Susulan itu, Annuar berharap apa jua pendirian yang dibuat Umno tidak lagi melihat kepada kepentingan parti itu sendiri, sebaliknya harus juga melihat kedudukan Umno sebagai pihak yang sedang memimpin dan memerlukan kerjasama banyak pihak.
Katanya, Umno akan kerugian jika menolak kerjasama dengan parti-parti lain kerana parti itu sendiri sememangnya memerlukan kerjasama tersebut.
“Umno perlu mengamalkan politik muafakat dan perbincangan bagi mencapai inklusiviti yang perlu dijadikan perhatian serius,” katanya. – Malaysiapost

