
SISTEM tuaian air hujan mungkin dapat membantu masalah air yang sering dialami di negeri tertentu kerana Malaysia terkenal dengan taburan hujan yang tinggi.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mencadangkan sistem itu digunakan secara meluas dan ia bukanlah idea atau teknologi baru.
“Rainwater harvesting atau tuai hujan bukan idea baru atau teknologi baru.
“Air hujan diguna untuk tandas, cuci kereta atau tanaman. Lebih-lebih lagi Malaysia terkenal dengan taburan hujan yang tinggi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Shabery berkata, perlaksanaannya di negara ini belum secara meluas dan tiada kempen atau insentif khusus diberikan mengenainya serta belum ada syarat membina sistem berkenaan bagi bangunan tinggi.
“Hari tanpa air di negeri tertentu dah jadi rutin. Mungkin boleh diingatkan lagi cadangan ini untuk kali yang ke-99,” katanya secara sindiran.
Menurutnya, keadaan itu sama dengan penggunaan panel solar yang pada mulanya ramai sangsi kerana kosnya yang tinggi, namun kini semakin diterima selain kos semakin rendah.
Media melaporkan gangguan bekalan air berlaku di 998 kawasan di Lembah Klang bermula 13 hingga 16 Oktober 2021 susulan kerja-kerja penyenggaraan aset aset-aset kritikal di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1. – Malaysiapost
