PENDUDUK Perdana Villa, Taman Sentosa, Klang gempar dengan penemuan bangkai anjing, kucing dan beratus merpati disyaki diracun oleh individu tidak bertanggungjawab di kawasan padang perumahan itu, baru-baru ini.
Persatuan Haiwan Terbiar Malaysia (SAFM) di laman sosial Facebook, menyifatkan perbuatan membunuh haiwan itu yang dilaporkan berlaku sejak 8 Oktober lalu, sebagai tindakan tidak bermoral dan pesalah boleh disabit dibawah Akta Kebajikan Haiwan 2015 .
“Sejak 8 Oktober yang lalu di kawasan padang Pangsapuri Perdana Villa, Taman Sentosa, Klang, bangkai anjing, kucing dan beratus ekor merpati didapati mati dipercayai diracun.
“SAFM memandang perbuatan membunuh haiwan ini sebagai satu tindakan yang zalim kerana menggunakan cara yang menyebabkan kesakitan dan keseksaan yang tidak wajar kepada haiwan-haiwan ini.
“Jenayah yang melibatkan penyeksaan haiwan boleh disabit dibawah Akta Kebajikan Haiwan 2015, dimana pelaku boleh dihukum penjara maksimum 3 tahun dan denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
SAFM berkata, kes berkenaan masih dalam siasatan dan menasihatkan orang ramai meracun haiwan terbiar bukanlah jalan yang terbaik kerana kini sudah ada alternatif lain yang tidak berbahaya.
“Sehingga kini, individu yang tidak bertanggungjawab ini masih belum dikenalpasti, meracun haiwan terbiar bukanlah jalan terakhir untuk menyelesaikan masalah.
“Malah, ia akan membahayakan orang lain dan alam sekitar jika dibiarkan begitu sahaja, kita sudah ada kaedah kawalan kacau ganggu yang lebih efektif seperti Trap Neuter Release (TNR) dan bekerjasama dengan pihak berkuasa.
“Saksi yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi hotline WhatAps kami 016-2662007,” katanya. – Malaysiapost

