‘Memang niat kerajaan PN ganti HSR Iskandar Puteri-Kuala Lumpur’ – Najib

0
3
Pix via Malaysiapost

KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) sememangnya berniat untuk menggantikan projek keretapi laju (HSR) Singapura-Kuala Lumpur dengan Iskandar Puteri-Kuala Lumpur, kata Datuk Seri Najib Razak.

Bekas Perdana Menteri itu, berkata ternyata beliau tidak silap dalam membuat tuduhan berkenaan apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed mengesahkannya hari ini.

“Menteri PPBM (Bersatu) akhirnya mengesahkan tuduhan saya bahawa niat Kerajaan PN memang untuk gantikan projek keretapi laju (HSR) Singapura-KL dengan Iskandar Puteri-KL.

“Jarak antara Singapura-KL = 354.6 km. Jarak antara Iskandar Puteri-KL = 332.6km. Beza = 22km atau 6% daripada jarak Singapura-KL. Bermaksud kos projek hampir sama,” tulisnya di Facebook.

Najib berkata, sekiranya kos dan jarak hampir sama mengapa kerajaan PN dahulu membayar pampasan sebanyak RM320 juta kepada negara Singapura.

Katanya, bayaran itu bagi membatalkan projek HSR Singapura-KL (yang juga akan melalui Iskandar Puteri) untuk digantikan dengan projek HSR Iskandar Puteri- KL.

“… walaupun jumlah penumpang, jumlah pelancong asing, jumlah pendapatan serta nilai impak ekonomi adalah berkali ganda lebih rendah berbanding projek asal?

“Sehingga kerajaan masa depan akan terpaksa membayar subsidi setiap tahun yang jumlah terkumpul akan melebihi RM10 bilion bagi projek ini akibat kekurangan penumpang dan pendapatan?,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib mempersoalkan bahawa ia akan menyebabkan negara terlepas impak ekonomi sebanyak RM500 bilion bagi jangka masa panjang yang bakal diberi oleh projek asal.

“Sebab kerajaan PN dahulu mahu elak tender terbuka antarabangsa yang dibuat dan dinilai bersama Singapura supaya projek-projek boleh diberi secara terus kepada kroni-kroni kesayangan,” katanya.

Terdahulu, Mustapa berkata, kajian cadangan projek HSR domestik KL-Iskandar Puteri sudah siap dan sedia untuk diserahkan kepada Kabinet.

Beliau berkata, kajian HSR domestik itu adalah antara cadangan alternatif yang ditinjau kerajaan selepas pembatalan pembinaan HSR KL-Singapura.

“Kita meninjau HSR domestik antara KL-Iskandar Puteri. Kajian sudah siap dan sedia untuk dihantar kepada Kabinet,” katanya.

Januari lalu, Malaysia-Singapura membatalkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura, selepas gagal mencapai kata putus susulan tempoh penangguhan yang berakhir 31 Disember 2020. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here