Langkawi bakal dibuka kepada pelancong asing

0
3
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri bercakap pada sidang media status terkini gelembung perjalanan pelancongan domestik di Aswara.

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mencadangkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) agar projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dibuka kepada pelancong asing

Menterinya Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya mencadangkan supaya gelembung itu dibuka kepada pelancong asing dari beberapa negara tertentu.

“Saya baru mengemukakan cadangan ini dalam mesyuarat MKN. Saya cadangkan dibuka kepada beberapa negara untuk ke Pulau Langkawi dahulu, untuk projek rintis.

“Jadi, kita tunggu pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) . Kita sudah buka ruang ini kepada pihak luar dan mengharapkan lebih ramai akan datang kerana ini antara cara untuk kembangkan ekonomi,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Senator Ahmad Yahya mengenai sama ada kerajaan akan membuka pintu masuk negara untuk pelancong asing, khususnya negara ASEAN selaras kejayaan projek gelembung pelancongan di Pulau Langkawi.

Terdahulu ketika menjawab soalan Ahmad mengenai sambutan pelancong tempatan ke pulau berkenaan serta masalah berbangkit yang dikesan, Nancy berkata 90,000 pelancong tempatan direkodkan ke Langkawi setakat ini.

Menurutnya, jumlah itu membabitkan sejumlah 85,921 pengunjung dari luar Kedah yang berkunjung ke Langkawi sejak projek gelembung pelancongan bermula pada 16 September lalu.

“Setakat 12 Oktober lalu, lebih 58,000 pengunjung tiba melalui pintu masuk udara iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, manakala lebih 27,000 pengunjung lagi tiba di Langkawi melalui pintu masuk laut.

“Kehadiran pelancong ini semestinya memberi kesan domino kepada industri penerbangan, feri dan juga premis penginapan pelancong,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan maklum balas Persatuan Hotel Malaysia (MAH), kadar purata penginapan di premis ahli MAH di Langkawi bagi tempoh tujuh hari pertama, menunjukkan 45 peratus adalah bertaraf empat hingga lima bintang, dan 21 peratus bagi premis bertaraf tiga bintang ke bawah.

“Bagi tempoh sama, Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) melaporkan kadar purata penginapan bagi premis penginapan pelancong ahlinya adalah 15 peratus,” katanya,

Nancy menegaskan, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang Covid-19 amat penting bagi menjayakan gelembung pelancongan.

“Untuk Langkawi kekal sebagai gelembung dan diikuti pulau serta destinasi lain, pengunjung perlu patuhi SOP dan kekal menggunakan pelitup muka, pensanitasi tangan dan menjaga jarak fizikal,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here