PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pengecualian faedah selama tiga bulan dan pengurangan bayaran ansuran ditawarkan kepada peminjam B50.
Beliau berkata, kemudahan itu yang ditawarkan di bawah Program Pengurusan dan Ketahanan Kewangan (URUS) akan dilaksanakan sektor perbankan dalam masa terdekat.
Katanya, ia turut merangkumi peminjam dalam kategori isi rumah B40, iaitu mereka yang berpendapatan kasar kurang daripada RM5,880 sebulan.
“Kemudahan ditawarkan ialah pengecualian faedah untuk tiga bulan dan pengurangan bayaran ansuran untuk tempoh sehingga 24 bulan termasuk pengurangan kadar faedah.
“Dalam tempoh ini, pelanggan dengan pinjaman atau pembiayaan dan kad kredit peribadi tanpa jaminan boleh mendapat manfaat daripada kadar faedah yang dikurangkan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.
“Program URUS ini dirangka oleh sektor perbankan bersama-sama Bank Negara Malaysia (BNM) dan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
“Butiran selanjutnya mengenai program URUS akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ismail Sabri berkata, inisiatif sektor perbankan itu jelas mencerminkan semangat Keluarga Malaysia dan melengkapkan usaha kerajaan bagi membantu golongan peminjam B50 yang sebelum ini mendapat manfaat program moratorium menerusi pakej bantuan dan rangsangan sejak Mac 2020.
“Kerajaan berharap dengan pendekatan ‘whole-of-nation’ dan penyatuan usaha seluruh rakyat, kita mampu merealisasikan matlamat menjadikan Malaysia negara yang makmur, inklusif dan mampan,” katanya. – Malaysiapost

