Wira Putra desak polis siasat skandal Pandora Papers

0
1

SAYAP pemuda Parti Bumiputera Perkasa Malaysia yang dikenali sebagai Wira Putra tampil membuat laporan polis berhubung pendedahan laporan Pandora Papers, hari ini. 

Naib Ketuanya, Syed Mohd Shahriman Syed Badrishah telah membuat laporan di Balai Polis Daerah (IPD) Shah Alam kira-kira jam 11.30 pagi tadi untuk mendesak polis membuka kertas siasatan.

“Wira Putra Malaysia memohon polis membuka kertas siasatan bagi isu ini dan turut mendesak kerajaan menjalankan siasatan secara telus, berintegriti dan tidak takut bagi menegakkan kebenaran.

“Ini supaya rakyat serta dunia melihat kerajaan Keluarga Malaysia ini serius dalam menangani isu yang telah didedahkan oleh pihak ICIJ dalam laporan Pandora Papers,” katanya dalam kenyataan, hari ini. 

Beliau yang hadir bersama Ketua Penerangan Wira Putra Malaysia, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun berkata, Wira Putra juga mendesak kerajaan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi isu yang didedahkan oleh International Consortium of Investigative Journalist (ICIJ) baru-baru ini.

“Kita mahu RCI bekerjasama dengan agensi penguatkuasa lain seperti polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

“Kita mahu mereka menyiasat nama yang didedahkan sama ada terdapat salah laku mahupun penyelewengan dilakukan sepanjang tempoh aliran tunai dan pelaburan ke akaun pesisir yang dinyatakan,” katanya. 

Menurut laporan Global Financial Intergrity (GFI), Malaysia merupakan antara lima negara yang mempunyai aliran keluar wang haram yang tinggi di dunia.

Syed Mohd Shahriman berkata, bagi membersihkan nama baik dan reputasi negara, amat perlu RCI ditubuhkan untuk meningkatkan pengukuhan ekonomi negara dengan lebih baik.

Katanya, ini secara tidak langsung akan menunjukkan Malaysia mempunyai “Good Governance” dan tidak berkompromi dengan isu aliran wang haram ini dan usaha itu bagi meningkatkan keyakinan pelabur dalam dan luar negara bagi terus melabur dengan konsisten dalam negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here