AHLI Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menuntut penjelasan membabitkan aspek undang-undang dan moral berhubung trend merakam perbualan telefon sebagai ‘hiburan baharu’ sejak akhir-akhir ini.
Ahmad Shabery mempersoalkan tindakan pihak tertentu membuat rakaman percakapan telefon untuk tujuan tertentu.
“Sejak akhir-akhir ini cerita rakaman percakapan telefon dah jadi sumber hiburan baru.
“Rasanya perlu ada penjelasan tentang aspek undang-undang dan moral dalam isu ini. Ada yang sah dari segi undang-undang tapi salah dari segi moral.
“Ada yang undang-undanf pun salah dan moral pun tak betul. Atau apakah ada yang sebaliknya?,” katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Shabery turut mempersoalkan sama ada sistem sedia ada masih boleh dipercayai atau sebaliknya.
“Mereka yang nak berkongsi (menyebarkan audio) pun kena tahu kedudukan ini,” katanya.
Dalam hantaran sama, Shabery memuatnaik tangkap layar laporan berita mengenai bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Latheefa Koya mempertahankan tindakannya mendedahkan rakaman audio membabitkan beberapa individu berprofil tinggi pada 8 Januari 2020.
Sejak kebelakangan ini, beberapa siri pendedahan membabitkan rakaman perbualan telefon dilihat menjadi senjata politik pihak tertentu termasuk membabitkan kes kontroversi Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim pada April lalu.
Selain itu, yang terbaharu tular di media sosial rakaman audio perbualan dua individu mirip suara Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron dipercayai berkaitan krisis politik Melaka. – Malaysiapost

