‘Buah yang busuk tergugur sendiri’

0
1
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KEMELUT politik di Melaka berlaku kerana ada pemimpin tertentu cuba merealisasikan cita-cita peribadi dan idealisme, selain tidak suka kepada seseorang pemimpin yang lain.

Perkara itu dinyatakan Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang menepis perumpamaan ‘dua singa tidak boleh berada di atas satu gunung’ seperti dinyatakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

“Saya tak menyentuh peribadi, tapi saya lihat apa yang berlaku di Melaka ialah pendekatan bagi melaksanakan cita-cita dan idealismen seseorang serta ketidaksukaan terhadap seseorang yang lain.

“Bagi saya kita ketepikan soal peribadi, ada yang kata tak boleh ada dua singa atas satu gunung, ni bukan soal singa.

“Hakikatnya ketepikan soal itu, yang penting rakyat Melaka mesti diberi kesaksamaan perkhidmatan seorang Ketua Menteri dan kalau mahu adakan pilihan raya, biarlah sama dengan Pilihan Raya Umum untuk isu itu diselesaikan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu program bual bicara yang disiarkan di platform media sosial, malam tadi.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, oleh kerana Yang di-Pertua Negeri Melaka telah membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), Umno menghormati keputusan tersebut seperti tercatat dalam Perlembagaan negeri.

Ditanya pengacara sama ada beliau menduga Idris yang juga bekas Ketua Menteri Melaka mengkhianati Umno, Ahmad Zahid berkata Idris tentu mempunyai alasan tersendiri untuk berbuat demikian.

“Realitinya beliau tak lagi jadi ahli Umno kerana mengikut Perlembagaan Umno, mana-mana ahli atau Adun dan Ahli Parlimen yang menjatuhkan kerajaan sendiri, maka tergugur sendiri keahliannya.

“Umno tak pecat kerana yang busuk tak perlu tunggu masak ranum, ia akan tergugur sendiri,” katanya.

Minggu lalu, Idris bersama tiga lagi Adun iaitu Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas – Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas) menarik sokongan kepada Ketua Menteri Melaka.

Susulan itu pada 6 Oktober lalu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan mengesahkan keahlian Idris dan Nor Azman dalam Umno tergugur serta-merta di bawah Fasal 20.11 dibaca bersama Fasal 20.9 Perlembagaan Umno. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here