KERAJAAN sekali lagi menegaskan kelonggaran merentas negeri hanya dibenarkan kepada individu yang telah menerima vaksinasi lengkap.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ketetapan itu perlu dipatuhi demi memastikan usaha negara mengawal penularan virus Covid-19 terus dapat dilaksanakan sebaiknya.
Katanya, walaupun sekatan jalan raya (SJR) ditamatkan, namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) tetap akan melakukan pemantauan menerusi Pasukan-Pasukan Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).
“Ini termasuklah pemeriksaan rawak (random checks) di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) menerusi SJR bergerak, Snap Check, pemantauan R&R dan SJR di kawasan PKPD.
“PDRM telah diarahkan untuk memastikan pemeriksaan ini dilaksanakan secara serius dan tegas bagi memastikan rakyat kekal berdisiplin dan tidak bersikap sambil lewa dalam memanfaatkan kebenaran rentas negeri yang diberikan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Kuartert Ke-5, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan juga telah membenarkan rakyat ke luar negara tanpa perlu melalui MyTravelPass di bawah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).
Katanya, ia kesempatan yang amat ditunggu-tunggu sebahagian rakyat untuk kembali bertemu ahli keluarga yang berada di luar negara.
“Namun saya sekali lagi ingin mengingatkan, mereka masih terikat dengan garis panduan serta peraturan yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mana mereka masih diwajibkan menjalani kuarantin sebaik pulang semula ke tanah air.
“Ini bermakna, sekalipun rentas negeri dan perjalanan ke luar negara telah dibenarkan, SOP tetap berkuatkuasa. Semua pihak masih perlu patuh kepada semua peraturan demi kebaikan diri sendiri dan orang sekeliling,” katanya.
Hishammuddin berkata, sebagai contoh, sebelum melakukan rentas negeri, rancanglah perjalanan dengan sebaik mungkin dan jangan terburu-buru sehingga mengabaikan aspek keselamatan keluarga masing-masing.
“Jika terdapat sebarang simptom, tangguhlah dahulu perjalanan. Sebaiknya lakukan ujian pengesanan Covid-19 kendiri sebelum melakukan perjalanan dan sebelum pulang semula ke negeri bermastautin,” katanya. – Malaysiapost

