MENTERI Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata Mesyuarat ke-5 Menteri Kuartet Covid-19 hari ini meneliti tiga fokus untuk membolehkan negara beralih ke fasa endemik.
Beliau berkata, tiga fokus berkenaan termasuk kawalan bersasar, kesedaran terhadap virus dan pemerkasaan rakyat.
“Menerusi fokus kawalan bersasar (targeted control). Di bawah fokus ini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang dalam proses merangka sistem amaran (alert system) jika berlaku lonjakan kes terutama apabila negara beralih ke fasa endemik.
“Sementara, menerusi fokus kedua – kesedaran terhadap virus (good virus awareness) adalah penting agar masyarakat memahami dan menerima hakikat bahawa kita harus hidup bersama virus Covid-19.
“Ini menuntut kita semua memahami risiko transmisi dan pentingnya mengelak melakukan perkara yang boleh meningkatkan risiko jangkitan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartert berkata, menerusi fokus pemerkasaan masyarakat (community empowerment), rakyat turut memainkan peranan dalam pencegahan virus
“Mencegah penularan virus Covid-19 turut perlu dimainkan oleh rakyat bersama pihak berkuasa terutama dalam menuju ke fasa endemik.,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin juga mengingatkan rakyat agar terus menjaga kesihatan diri dan ahli keluarga dengan mengamalkan langkah pencegahan dan SOP.
“Penting kukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS, iaitu TEST, REPORT, ISOLATE, INFORM, SEEK.
“TRIIS bukan sahaja mesti difahami masyarakat tetapi mesti menjadi rutin demi membantu usaha negara menangani penularan Covid-19,” katanya.
Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, mesyuarat turut memperhalusi pelaksanaan garis panduan pengudaraan dan kualiti udara.
Katanya, garis panduan itu penting demi mengawal penularan virus yang berada di udara terutamanya dalam persekitaran premis.
“Malah, faktor pengudaraan ini juga penting dalam kita beralih ke fasa endemik.
“Sehubungan itu, pihak syarikat dan industri diingatkan agar sentiasa patuh dan memastikan ruang kerja mereka mempunyai sistem pengudaraan yang baik,” katanya. – Malaysiapost

