Kerajaan perlu lebih berhati-hati dalam soal pemerkasaan, pembangunan OKU – Ras Adiba

0
1

KERAJAAN gagal dalam melaksanakan dasar satu peratus pekerja orang kurang upaya (OKU) dalam sektor awam yang diperkenalkan sejak lebih tiga dekad lalu, kata Senator Ras Adiba Mohd Rasdi.

Menurutnya, ia adalah kegagalan polisi kerajaan yang harus diberikan perhatian serius dan memohon penjelasan terperinci mengenai kegagalan itu.

“Lebih tiga dekad dasar satu peratus pekerja OKU dalam sektor awam diperkenalkan, namun sehingga kini masih tidak melebihi 0.4 peratus dicapai.

“Malah hanya empat kementerian sahaja mencapai lebih satu peratus iaitu Kementerian Pertahanan; Kementerian Pembangunan Wanita, Kebajikan dan Masyarakat; Kementerian Usahawan dan Koperasi; serta Kementerian Perpaduan,” katanya ketika membahaskan usul Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) di Dewan Negara, hari ini.

Ras Adiba menyentuh mengenai golongan OKU yang disebut dalam RMK-12 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurutnya, walaupun inklusif menjadi salah satu tema atau objektif utama dalam pelan perancangan itu, namun perkataan OKU hanya disebut sebanyak 45 kali sahaja dalam keseluruhan buku RMK-12 yang merangkumi 556 muka surat.

“Saya mencadangkan agar sebuah Pasukan Khas diwujudkan di bawah Jabatan Perdana Menteri bagi mengkaji semula serta memastikan dasar ini benar-benar mencapai matlamat dan sasarannya.

“Saya berharap agar selepas ini kerajaan lebih berhati-hati dalam soal pemerkasaan atau pembangunan OKU, usahlah menjanjikan bulan dan bintang apabila memperkenalkan satu dasar sekiranya pelaksanaan agresif tidak dapat dilakukan.

“Tepatilah janji yang dikemukakan dengan serius dan bukan sekadar umum untuk kepentingan politik,” katanya.

Ras Adiba berkata, golongan OKU tidak perlukwb belas kasihan tetapi perlukan komitmen yang ikhlas bagi memastikan ekosistem di negara ini inklusif serta ramah OKU.

“Selain itu, sehingga saat ini masih wujud unsur diskriminasi di sektor awam dan swasta serta ketidakpercayaan terhadap kemampuan kami yang OKU.

“Benar kami mempunyai kekurangan tetapi ia bukan alasan untuk tidak diberi peluang kepada kami untuk bekerja,” katanya.

Menurutnya, majikan perlu melihat perkara yang boleh dilakukan oleh OKU secara am serta graduan OKU secara khususnya, bukannya bersikap diskriminasi.

“Justeru saya berharap agar pihak kerajaan membuka peluang pekerjaan yang luas buat komuniti OKU

“Harap semua pihak tidak menggunakan alasan kurang permohonan pekerjaan dari kalangan OKU,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here