JABATAN Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia merampas 19 pelbagai spesis dilindungi dan tiga bahagian hidupan liar di sebuah premis di daerah Kerdau, Pahang.
Menurut kenyataan PERHILITAN di Facebook, serbuan itu dijalankan pada 27 September lalu.
Katanya, operasi ini turut melibatkan kerjasama daripada Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia.
“Hasil rampasan adalah 12 ekor burung Sun Conure, 2 ekor burung Ruak-Ruak, 2 ekor Ayam Pegar, 1 ekor burung Helang, 1 ekor Baning, 1 ekor Musang Pandan dan 3 bahagian hidupan liar disyaki kulit Ular Sawa, tanduk Rusa serta kulit Pelanduk.
“Kesemua barang rampasan tersebut telah disimpan oleh suspek tanpa sebarang dokumen yang sah oleh Jabatan PERHILITAN Semenanjung Malaysia,” kata kenyataan hari ini.
Menurut kenyataan itu, suspek dan kesemua barang kes telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, Pahang untuk tindakan selanjutnya.
“Kes ini akan disiasat di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 716],” katanya.
Sehubungan itu, Jabatan PERHILITAN turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi ini. – Malaysiapost

