‘Beri pihak ada sokongan majoriti jadi kerajaan caretaker Melaka’ – PH

0
1

MAJLIS Presiden Pakatan Harapan (PH) mahu kerajaan ‘caretaker’ Melaka diberikan kepada pihak yang mempunyai sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun).

Menurut kenyataan bersama Majlis Presiden PH, perbincangan perlu dilakukan demi memastikan perlembagaan negeri Melaka ditegakkan dan dihormati oleh semua pihak melalui pembentukan kerajaan yang sepatutnya.

Katanya, ia susulan pihaknya meneliti kenyataan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka semalam khusus berhubung penamaan Datuk Seri Sulaiman Ali sebagai Ketua Menteri yang mengetuai Kerajaan ‘caretaker Melaka.

“Dalam kenyataan tersebut, Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka mengakui bahawa Perlembagaan Negeri tidak memperuntukkan fungsi dan peranan sebuah Kerajaan caretaker dan seterusnya merujuk konvensyen sistem demokrasi berparlimen di negara-negara Komanwel penting ditegaskan bahawa Pakatan Harapan menolak pembubaran DUN sebagai tidak berperlembagaan.

“Taktala Melaka masih menghadapi wabak Covid-19 dan adanya gabungan parti yang mendapat sokongan majoriti Adun-adun.

“Justeru, Pakatan Harapan menolak penamaan Sulaiman selaku Ketua Menteri ‘caretaker’ Melaka kerana beliau telah jelas hilang sokongan majoriti Adun Melaka sebelum DUN Melaka dibubarkan dan tidak lagi mampu mengetuai Kerajaan Negeri Melaka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dikeluarkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Mohamad Sabu (Presiden Amanah), Lim Guan Eng (Setiausaha DAP) dan Datuk Seri Wilfred Madius Tangau (Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif – Upko).

Menurut kenyataan itu, perbincangan sepatutnya diadakan terlebih dahulu di antara Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, blok majoriti PH yang diketuai Adly Zahari bersama blok Datuk Seri Idris Haron, dan blok minoriti yang diketuai oleh Sulaiman sebelum menamakan sesiapa untuk memegang jawatan tersebut.

“Malah seperti yang berlaku di Perak pada 2009 mahupun Melaka itu sendiri pada 2020, seharusnya blok majoriti diberi peluang mengetuai pentadbiran negeri.

“Jadi, Pakatan Harapan mengulangi pendirian bahawa Pilihan Raya Negeri tidak patut diadakan pada waktu ini demi mengelak berlakunya gelombang ke-empat penularan wabak Covid-19.

“Darurat juga tidak sesuai memandangkan ia akan menimbulkan kegusaran di kalangan pelabur pada ketika usaha menghidupkan semula ekonomi negara sedang diperhebat.

“Oleh itu, perbincangan perlu diadakan agar semua pihak memastikan Perlembagaan Negeri Melaka ditegakkan dan dihormati dengan mewajibkan mana-mana kerajaan termasuk Kerajaan ‘caretaker’ diwakili oleh golongan majoriti Adun-Adun,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here