Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 berakhir hari ini

0
2

SIDANG Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang telah berlangsung selama 17 hari bermula 13 September lalu, ditangguhkan hari ini.

Mesyuarat ditangguhkan oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun yang turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan persidangan kali ini dalam keadaan negara masih berdepan pandemik Covid-19.

“Sepertimana semua maklum persidangan kali ini telah diadakan dengan mengambil kira cabaran penularan wabak Covid-19 di negara kita

“Sehubungan itu pelbagai langkah diambil bagi memastikan persidangan ini berjalan lancar termasuk mewajibkan ujian RTK-Ag saliva secara berkala serta meningkatkan kualiti udara di semua bangunan di Parlimen.

“Hasilnya hanya sembilan kes Covid-19 dilaporkan yang semuanya berpunca daripada komuniti. Syukur tiada jangkitan atau kluster yang berlaku di dalam Parlimen Malaysia,” katanya sebelum menangguhkan sidang kali ini.

Beliau mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) khususnya kepada pihak Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) yang diketuai Dr Norliza Mohd Nordin dan pasukannya.

“Ucapan terima kasih juga kepada Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said yang sudi mempengerusikan sementara beberapa kali mesyuarat Dewan Rakyat sepanjang persidangan kali ini

“Terima kasih kepada semua pegawai kerajaan, warga Parlimen Malaysia khususnya Bahagian Pengurusan Dewan Rakyat, wakil media massa serta semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak langsung,” katanya.

Azhar turut menasihatkan semua Ahli Parlimen untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar sama-sama dapat mengekang penularan wabak Covid-19 yang masih belum ada kesudahan ini walaupun telah nampak perubahannya.

“Tanam pinang rapat-rapat, agar puyuh tak dapat lari

“Selesai sudah Mesyuarat Pertama Penggal Keempat, mesyuarat kedua kita bersua lagi.

“Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini ditangguhkan hingga ke suatu tarikh yang tidak ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here