PM sebak sentuh isu kemiskinan, terkenang keperitan hidup zaman kanak-kanak

0
1

“NOSTALGIA sewaktu kanak-kanak menyelubungi saya ketika membaca teks ucapan sebentar tadi, membuatkan saya sebak,” jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menerusi catatan di Facebooknya,Perdana Menteri berkata, ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di sidang Dewan Negara hari ini, hatinya tersentuh ketika membaca teks mengenai isu kemiskinan.

“Saya membentangkan usul mengenai Rancangan Malaysia Ke 12 (RMK-12), 2021-2025: Keluarga Malaysia – Makmur, Inklusif dan Mampan pada jam 11.30 pagi tadi di Dewan Negara.

“Perasaan sebak apabila saya membaca teks ucapan di perenggan ke 42,” katanya.

Ahli Parlimen Bera itu berkata, isu kemiskinan sangat dekat di hatinya kerana beliau berasal daripada keluarga penoreh yang sangat memahami erti kesusahan hidup.

“Nostalgia sewaktu kanak-kanak menyelubungi saya ketika membaca teks ucapan sebentar tadi, saya berasal dari keluarga penoreh getah yang amat memahami erti kesusahan dan kepayahan hidup rakyat.

“Masih segar dalam ingatan segala kepayahan dan keperitan yang pernah diharungi oleh kedua ibu bapa untuk membesarkan kami sekeluarga.

“Impian saya adalah agar tiada lagi daripada kita yang terpaksa melalui semua ini,” katanya menerusi Facebook.

Terdahulu, dalam sidang Dewan Negara, Ismail Sabri kelihatan sebak apabila menyentuh mengenai isu kemiskinan ketika membentangkan RMK12.

Malah, lontaran suara Perdana Menteri jelas kedengaran sebak dan sedih ketika menyebut fokus kelima RMK12 iaitu membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.

“Dilahir dan membesar daripada keluarga penoreh getah, saya sangat memahami kesusahan dan kepayahan hidup rakyat.

“Pandemik Covid-19 yang melanda telah meningkatkan kadar kemiskinan, menjejaskan pendapatan individu dan isi rumah seterusnya menghimpit keluarga kita dalam kemiskinan,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak termasuk pertubuhan masyarakat sivil (CSO), badan korporat, orang perseorangan dan Majlis Agama Islam negeri.

Menurut beliau, kesemua pihak itu sentiasa prihatin dan menyokong kerajaan dalam membantu masyarakat yang terkesan sepanjang pandemik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here