PENYANYI dan pelakon Safura Ya’cob berkongsi berita duka kehilangan anak perempuan tersayang, Noor Shafiela yang meninggal dunia semalam.
Penyanyi berusia 47 tahun itu berkongsi berita tersebut menerusi hantaran di laman Instagram yang dimuat naik malam tadi.
Pelantun lagu Jangan Menangis Sayang itu juga menitipkan kata rindu dangan ciuman terakhir buat arwah anak perempuannya sebelum dikebumikan.
“Alhamdulillah… ciuman terakhir mama buat Not… wangi seharum kasturi… semoga Allah tempatkan kamu anak ku Noor Shafiela di dalam syurga Allah… Aamiin,” tulisnya.
Bagaimanapun, Safura tidak memperincikan lebih lanjut berkenaan hal tersebut.
Safura dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nurul Natasha Abdul Rani dan Muhammad Daniel Khaqim Mohd Khairi, hasil perkahwinan yang pertama.
Kemudian, Safura mendirikan rumah tangga bersama pelakon Sahronizam pada tahun 2005 dan dikurniakan empat cahaya mata bernama Yusoff Firdaus, 12; Zara Nur Aisyah, 11; Ariana Sofia, 7; dan Nur Aisyah Mariam yang meninggal dunia ketika berusia tiga tahun pada 2008. – Malaysiapost

