VETERAN Umno, Tan Sri Shahrir Abdul Samad menempelak kenyataan Lim Kit Siang yang disifatkan sebagai ‘penghasut’ berhubung penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat kes kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.
Ketua Umno Bahagian Johor Bahru itu, berkata Kit Siang sudah kembali semula kepada perangai lama dengan sikap suka menghasut apabila kembali menjadi pembangkang.
“Dah balik perangai lama. Hasut sini, hasut sana. Itu sahaja prinsip perjuangannya.
“Bukankah berkuasa sebagai pemerintah selama 22 bulan. Macam-macam boleh dibuat untuk jadikan ‘Malaysia Baru’ tapi dirosakkan pula,” katanya menerusi Facebook.
Shahrir berkata, beliau melihat kenyataan Veteran DAP itu sebagai individu berhati busuk serta dipenuhi dengan dendam.
Semalam, Kit Siang meminta kerajaan untuk menubuhkan jawatankuasa siasatan yang sama seperti kes Muhammad Adib untuk menyiasat kes Teoh Beng Hock dan Altantuya Shaariibuu.
Menurut Kit Siang, kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri akan dilihat mengamalkan dwi standard jika tidak berbuat demikian.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, mesyuarat Kabinet yang akan datang juga perlu meluaskan terma rujukan pasukan tindakan yang ditubuhkan itu untuk menyiasat dua kes berkenaan.
“Tidak ada agensi kerajaan atau mana-mana VIP yang boleh mengecilkan nyawa manusia di Malaysia dan bahawa Malaysia memandang serius perkara berkenaan kedaulatan undang-undang.
“Kita tidak boleh biarkan sesiapa pun mempunyai sebarang keraguan mengenai nilai kehidupan manusia di Malaysia,” katanya. – Malaysiapost

