89% pelajar tajaan MARA golongan B40

0
2

SEBANYAK 89 peratus pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) adalah daripada golongan B40 yang mempunyai minda kelas pertama dan bertaraf global, kata Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Katanya, sehingga 30 September 2021, MARA telah menaja seramai 50,555 pelajar merangkumi 44,994 atau 89 peratus daripada golongan B40, 5,055 iaitu 10 peratus daripada M40 dan 506 pelajar atau satu peratus daripada T20.

“MARA sejak dahulu lagi mengamalkan dasar yang memberi keutamaan kepada golongan B40 dan penduduk luar bandar bagi akses kepada pendidikan yang lebih baik.

“Melalui program penganjuran pelajaran MARA ini, ia strategi serampang dua mata yang bukan sekadar memberi tumpuan dan peluang kepada pelajar miskin dan luar bandar, malah menjamin keperluan guna tenaga dan modal insan negara dapat dipenuhi.

“Ini selaras dengan perkembangan teknologi dan industri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pelaksanaan dasar itu jelas beliau, bermula di peringkat pengambilan pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), kemasukan pelajar ke Institusi Pendidikan MARA (IPMA) dan Program Penajaan Pelajaran.

Mahdzir berkata, MARA juga menyediakan penajaan pelajaran di institusi dalam dan luar negara berbentuk pinjaman boleh ubah kepada pelajar cemerlang bermula dari program persediaan sehingga ke peringkat doktor falsafah (PhD).

“Ia termasuk kursus-kursus pentauliahan profesional, kepakaran (spesialis) dan program kritikal yang diselaraskan mengikut keperluan negara pada masa hadapan,” katanya.

Bagi tahun 2021, katanya, MARA menyediakan peruntukan untuk membiayai 60,000 pelajar merangkumi 35,000 pelajar sedia ada dan 25,000 pelajar baharu.

“Pemilihan pelajar bagi mengikuti program penajaan ini bukan hanya tertumpu dari aspek status sosio ekonomi (SES) keluarga sahaja, malah mengambil kira kecemerlangan akademik, kebolehan yang dinilai melalui ujian psikometrik, ko-kurikulum serta status institusi pendidikan dan program yang dipilih. MARA mengutamakan program pengajian dalam universiti terbaik dunia.

“Peratusan itu jelas menunjukkan KPLB bersama MARA memberi keutamaan kepada anak-anak dari keluarga B40 sekali gus menafikan dakwaan tajaan MARA lebih mengutamakan pelajar keluarga T20.

“Saya mohon kepada orang ramai untuk merujuk MARA terlebih dahulu sekiranya terdapat dakwaan tidak berasas daripada pihak tertentu,” katanya.

Terbaru, beliau memaklumkan MARA menghantar 215 pelajar tajaannya ke United Kingdom di bawah program Young Talent Development Program (YTP), IPMA Excellent Sponsorship Program (IESP) dan World Top University (WTU). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here