Kes basikal lajak: Pendakwaan failkan notis rayuan

0
1

PIHAK pendakwaan hari ini memfailkan notis rayuan terhadap pembebasan seorang jurujual daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, empat tahun lalu.

Rayuan difailkan Penolong Pegawai Undang-undang Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Johor, Nurrul Azrina Arza dan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syafiq Mohd Ghazali, di kaunter Mahkamah Majistret/Sesyen, Kompleks Mahkamah Johor Bahru hari ini.

Muhammad Syafiq berkata rayuan difailkan susulan arahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun semalam, lapor Berita Harian.

“Hari ini pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan keputusan Mahkamah Majistret kelmarin yang melepas dan membebaskan seorang jurujual daripada pertuduhan memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja berbasikal lajak, pada 2017.

“Selepas ini, proses penyemakan rekod rayuan dan keterangan tertuduh pada peringkat pembelaan akan dibuat, sebelum memfailkan petisyen rayuan. Mahkamah Tinggi kemudian akan menetapkan tarikh perbicaraan rayuan yang dibuat,” katanya.

Semalam media melaporkan, AGC akan memfailkan rayuan berhubung kes berkenaan.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun dilaporkan berkata, AGC akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Johor Bahru kepada Mahkamah Tinggi sama ada Isnin atau Selasa.

Kelmarin, Mahkamah Majistret Johor Bahru membebas dan melepaskan Sam Ke Ting, 26, daripada pertuduhan memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian lapan remaja di Jalan Lingkaran Dalam pada 3.20 pagi, 18 Februari 2017.

Majistret Siti Hajar Ali membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Ke Ting, sekali gus memerintahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan itu dengan lesen memandunya yang digantung, diperintahkan dipulangkan serta-merta.

Dalam penghakimannya, Siti Hajar berkata mahkamah berpendapat keterangan tertuduh bahawa dia tidak mengetahui terdapat aktiviti basikal lajak di kawasan itu adalah munasabah.

Siti Hajar berkata, keterangan Ke Ting bahawa dia berada di lorong paling kiri lokasi kejadian di Jalan Lingkaran Dalam juga bertepatan dengan hasil kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), yang mendapati kenderaan tertuduh sama ada dipandu pada kelajuan 44.5 kilometer atau 75.8 kilometer sejam.

Ke Ting yang ketika kejadian berusia 22 tahun, didakwa memandu kereta secara melulu atau berbahaya di Jalan Lingkaran Dalam di Johor Bahru sehingga menyebabkan kematian lapan penunggang basikal lajak pada 3.20 pagi 18 Februari 2017. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here