Hanya 1.92 peratus daripada 1.6 juta penjawat awam belum divaksinasi

0
1
Petugas menyuntik vaksin AstraZaneca kepada seorang penerima vaksin di PWTC.

SEHINGGA kini sebanyak 98.18 peratus penjawat awam telah menerima vaksinasi lengkap Covid-19, sekaligus bermakna hanya 1.92 peratus daripada 1.6 juta kumpulan berkenaan yang belum divaksinasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abd Latiff Ahmad, berkata secara keseluruhan usaha pemberian vaksin masih dijalankan oleh kerajaan termasuk kepada penjawat awam.

“Suntikan vaksin Covid-19 ini masih lagi dijalankan dan dibuat secara sukarela termasuk juga kepada kakitangan perkhidmatan awam.

“Walaubagaimanapun jika kerajaan ingin mewajibkan atau memastikan semua 1.6 juta kakitangan awam ini disuntik vaksin, ia memerlukan beberapa syarat dan peraturan supaya perkara ini dapat dilakukan dengan cara yang berhemah,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan daripada Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (Pejuang – Sri Gading) mengenai penjawat awam yang tidak mahu mengambil vaksin dan adakah kerajaan akan mengenakan tindakan undang-undang terhadap golongan berkenaan.

Menjawab soalan tambahan daripada Shahruddin, mengenai adakah kerajaan bercadang mewajibkan penjawat awam menjalani ujian saringan Covid-19 dua kali seminggu seperti dilakukan oleh Ahli Parlimen di Dewan Rakyat, Abd Latiff berpendapat ia cadangan yang baik.

“Ia satu cadangan yang baik dan boleh dibawa dalam Mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) pandemik Covid-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob,” katanya.

Soalan tambahan kedua pula daripada Steven Choong Shiau (Bebas-Tebrau) mengenai tindakan terhadap orang awam yang enggan menerima vaksin.

“Kita tidak boleh memaksa, tetapi di Singapura contohnya ada undang-undang mewajibkan vaksinasi, namun kita belum sampai lagi ke tahap itu.

“Walaubagaimanapun pelbagai cara boleh dibuat pihak berwajib seperti sekarang ini mereka yang tidak terima vaksin maka tidak boleh menikmati banyak kelebihan seperti makan di restoran dan dengan cara ini lama kelamaan mereka akan sedar bahawa mereka tidak boleh mendapat nikmat seperti orang lain,” jawab Abd Latiff.

Sementara itu menjawab satu lagi soalan tambahan daripada Mohamad Sabu (Amanah-Kota Raja) mengenai bagaimana kerajaan menangani golongan anti vaksin dari kalangan bijak pandai termasuk doktor dan agamawan yang mempunyai pengaruh serta pelbagai hujah, Abd Latiff memaklumkan kerajaan maklum tentang golongan berkenaan.

“Golongan ini hanya akan sedar apabila mereka berhadapan sendiri dengan jangkitan Covid-19, mereka akan sedar peritnya.

“Contoh, Kanada mewajibkan vaksin kerana kumpulan anti vaksin mereka menentang secara terang-terang, tetapi di Malaysia masih ada ruang untuk berbincang dan perkara ini boleh ditangani tanpa paksaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here