Tercemar toksin, orang ramai dinasihat elak makan kerang dari Sungai Geting

0
2

ORANG ramai dinasihatkan tidak memungut, menjual dan memakan kerang-kerangan diperoleh dari perairan Sungai Geting, Tumpat, Kelantan berikutan kawasan tersebut disyaki telah tercemar dengan serangan alga merah.

Pengarah Jabatan Perikanan Negeri Kelantan Nazri Ishak mengesahkan mengeluarkan notis larangan itu membabitkan kerang-kerangan termasuk tiram, lokan, kepah, lala dan lain-lain.

Menurutnya, larangan tersebut akan dihentikan sehingga sampel kerang-kerangan selesai dianalisis di makmal setiap minggu sehingga bacaan kembali normal dan diyakini selamat untuk dimakan.

“Adalah dimaklumkan bahawa keputusan analisis daripada pihak Makmal Biosekuriti Perikanan mendapati, kerang-kerangan di kawasan tersebut telah tercemar dengan toksin saraf (saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu ‘alexandrium minutum’.

“Akibat daripada memakan kerang-kerangan tersebut boleh menyebabkan keracunan berbahaya serta memudaratkan kesihatan manusia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nazri berkata Sungai Geting sememangnya lokasi biasa berlakunya serangan alga merah ekoran banyak faktor antaranya akibat cuaca panas.

“Kerang-kerangan berfungsi sebagai penapis dan ia akan menapis bahan seperti alga dan jika ditapis sehingga tahap tinggi, apabila dimakan ia boleh menyebabkan keracunan.

“Kita akan buat persampelan ini setiap minggu hingga keadaan selamat untuk dimakan. Sebagai langkah kawalan kita mengarahkan supaya tidak mengutip kerang-kerangan tersebut, sehingga kerja siasatan selesai dan dijamin selamat,” katanya.

Menurutnya, orang ramai yang mempunyai pertanyaan lanjut boleh menghubungi Pejabat Jabatan Perikanan Negeri Kelantan di talian 09-7414 770 / 771 / 772 atau Pejabat Perikanan Daerah Tumpat di talian 09-725 7995. – Malaysiapost

Gambar sekadar hiasan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here