Tiga direman bantu siasatan kes pergaduhan di Bukit Bintang

0
1

POLIS menahan tiga lelaki bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan di sebuah premis di Jalan Changkat, Bukit Bintang, yang tular di Twitter semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, polis mengesan dua video masing-masing berdurasi 37 dan 27 saat menunjukkan insiden pergaduhan yang dimuat naik pemilik akaun Twitter, NanManjoi8715.

“Susulan itu, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi menjalankan siasatan berhubung video berkenaan yang membawa kepada penahanan tiga lelaki berusia antara 32 hingga 52 tahun.

“Semua suspek terbabit direman selama dua hari bermula semalam untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Noor Dellhan berkata, kertas siasatan berhubung kes tersebut akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai dijalankan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menularkan video berkenaan yang boleh mendatangkan kegusaran awam.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here