Tiada campur tangan pihak ketiga pentadbiran Kerajaan Melaka

0
2

SETIAUSAHA Kerajaan Melaka menafikan wujud campur tangan pihak ketiga dalam pentadbiran negeri itu seperti didakwa bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron.

Datuk Kamel Mohamad berkata keputusan dibuat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka (MMKN) yang tidak dirujuk kepada pihak ketiga sebelum, semasa atau selepas mesyuarat.

“Merujuk dakwaa khusus bahawa terdapat campur tangan Pengerusi Perhubungan Umno Melaka (Datuk Ab Rauf Yusoh) dan dakwaan keputusan MMKN perlu dirujuk pihak ketiga sebelum dilaksanakan, pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka menafikan dakwaan tersebut.

“Kerajaan negeri juga memandang serius tohmahan bekas ADUN Sungai Udang bahawa MMKN mengamalkan dasar terpilih memihak satu-satu kaum dalam membuat keputusan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, MMKN sentiasa mengambil kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berkata, setiap Ahli MMKN telah mengangkat sumpah kerahsiaan untuk tidak memberitahu atau tidak menzahirkan kepada sesiapa sama ada secara langsung atau tidak langsung apa-apa perkara yang dibawa untuk pertimbangannya.

“Dalam hubungan ini, Kerajaan Negeri Melaka sedang meneliti sama ada terdapat pelanggaran ke atas sumpah kerahsiaan tersebut dan sekiranya ada, tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan dari segi undang-undang,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here