Sulaiman ketuai kerajaan sementara Melaka

0
1

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu, Datuk Seri Sulaiman Md Ali mengetuai kerajaan sementara Melaka berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata pentadbiran itu akan dibantu Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sedia ada, melainkan mereka yang sudah meletakkan jawatan.

“Perlembagaan Negeri Melaka tidak memperuntukkan secara khusus mengenai fungsi dan peranan kerajaan sementara.

“Berdasarkan konvensyen dalam sistem demokrasi berparlimen di negara Komanwel, kerajaan sementara ini hanya berfungsi untuk mentadbir sesebuah negara atau negeri sehingga satu kerajaan baharu dibentuk,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kerajaan sementara tidak boleh membuat keputusan boleh mengikat atau mengambil tindakan memberi implikasi kewangan dan membebankan kerajaan baharu.

Namun jelasnya perkara itu boleh dilaksanakan demi kepentingan awam.

Kamel berkata, bagi maksud itu kerajaan sementara hanya boleh mengambil tindakan seperti menjalankan tugas rasmi rutin.

“Kerajaan sementara boleh meneruskan pelaksanaan dasar dan program sedia ada dan peruntukan kewangan baginya sudah disediakan.

“Membuat apa-apa perjanjian, kontrak dan aku janji yang mana dasar sudah diluluskan oleh kerajaan negeri atau peruntukan mengenainya sudah diluluskan oleh Dun seperti Belanjawan tahun semasa.

“Di samping itu, kerajaan sementara boleh mengadakan dan menghadiri majlis rasmi yang sudah dijadualkan bagi sesuatu projek atau program kerajaan negeri,” katanya.

Terdahulu susulan pembentukan kerajaan sementada di Melaka, Pakatan Harapan (PH) Melaka dilaporkan akan memfailkan kes di Mahkamah Tinggi Melaka bagi mencabar keabsahannya.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan pada 4 Oktober lalu selepas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam bersetuju membubarkannya, susulan tindakan empat ADUN menarik sokongan terhadap Ketua Menteri.

ADUN yang menarik sokongan itu adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Nor Azman Hassan (Pantai Kundor), Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here