ANALISA situasi semasa jangkitan Covid-19 di Malaysia menunjukkan situasi semakin pulih dalam beberapa minggu kebelakangan ini khususnya daripada aspek purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi, dan kapasiti hospital.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata situasi itu sedikit sebanyak menunjukkan kesediaan negara serta masyarakat untuk memasuki fasa endemik.
Menurutnya, secara keseluruhannya trend menurun sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 bagi indikator utama seperti kes harian, kes aktif, kematian, kes Unit Rawatan Rapi (ICU), dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.
“Pada ME ke-40 iaitu daripada 3 Oktober 2021 sehingga 9 Oktober lalu, terdapat 63,722 kes Covid-19 dilaporkan berbanding 83,368 kes yang dilaporkan pada ME ke-39 (penurunan sebanyak 23.6 peratus).
“Penurunan ini juga telah berlaku secara konsisten sejak enam (6) minggu kebelakangan (ME ke-34),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan pada ME ke-40 iaitu penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39 dan 700 kes kematian dengan purata 100 kes kematian sehari pada ME ke-40 penurunan 50.2 peratus berbanding ME ke-39.
“Selain itu, 778 kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dilaporkan (penurunan 9.0 peratus berbanding ME ke-39) dan 331 kes yang memerlukan bantuan pernafasan (penurunan sebanyak 11.2 peratus berbanding ME ke-39).
“Nilai R–Naught (Rt) juga menunjukkan penurunan sebanyak 0.2 peratus bagi setiap hari,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, dari segi kluster terdapat sebanyak 79 kluster yang dilaporkan dalam ME ke-40 iaitu penurunan sebanyak 21 kluster berbanding minggu sebelumnya iaitu penurunan sebanyak 21.0 peratus.
“Vaksinasi pula seperti diumumkan Perdana Menteri, semalam sebanyak 90.0 peratus daripada populasi dewasa telah menerima suntikan vaksin Covid19 lengkap.
“Kapasiti hospital kini hanya 16,199 katil di wad biasa dan 1,514 katil wad ICU telah diperuntukkan oleh KKM bagi merawat pesakit Covid-19,” katanya.
Beliau berkata, selaras dengan perkembangan positif ini, masyarakat dinasihatkan agar tidak leka dan cepat berpuas hati dengan status semasa jangkitan Covid-19 di negara.
“Kita wajar mengambil pengajaran dari peristiwa kenaikan kes Covid-19 yang mendadak sebelum ini sehingga melumpuhkan pelbagai sektor ekonomi dan sosial,” katanya. – Malaysiapost

