Tetapkan harga kit ujian kendiri antara RM5 ke RM10 – Dzulkefly

0
2

[PARLIMEN] KERAJAAN disaran menetapkan harga siling kit ujian kendiri Covid-19 pada kadar RM5 hingga RM10 seunit bagi membolehkan lebih ramai rakyat mampu membelinya.

Perkara itu dicadangkan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata langkah itu juga bagi menyokong strategi FTTIS (kenal pasti, pengujian, pengesanan, kuarantin dan sokongan) oleh kerajaan untuk beralih ke fasa endemik.

Beliau berkata, ujian kendiri memainkan peranan penting untuk memutuskan penularan wabak Covid-19 dalam fasa endemik dan hanya boleh dilakukan secara meluas jika kit tersebut mudah diperoleh.

“Sebab itu saya cadangkan harganya mesti kurang RM10 dan kalau dapat RM5, kit itu boleh menjadi peralatan seharian kepada orang ramai.

“Contohnya sebelum keluar rumah apabila seseorang mendapati dirinya mempunyai gejala, dia boleh buat ujian kendiri dan terus buat laporan menerusi MySejahtera,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas Menteri Kesihatan itu berkata demikian pada perbahasan Rang Undang-Undang meningkatkan had statutori hutang negara kepada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Ketika ini, harga siling kit ujian kendiri RTK Antigen ditetapkan RM19.90 seunit bagi jualan runcit manakala RM16 satu set bagi harga borong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here