Baki siling tinggal RM5 bilion, RUU ini mesti diluluskan – Zafrul

0
1

[PARLIMEN] RANG Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19)) (Pindaan) 2021 penting untuk diluluskan berikutan baki siling Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) setakat hujung September lalu hanya berjumlah RM5 bilion.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, RUU tersebut perlu diluluskan bagi membentuk kesinambungan usaha bersama dalam memelihara kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan pemulihan ekonomi.

Beliau yang membentangkan bacaan kali kedua RUU itu menjelaskan, ia juga untuk memastikan sokongan berterusan disampaikan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan, selain mengukuhkan sistem kesihatan awam bagi membendung penularan Covid-19.

“Hampir 13 bulan lalu, muafakat semua ahli dewan ini terserlah apabila kita meluluskan RUU Kumpulan Wang Covid-19 (KWC-19) yang pertama bernilai RM45 bilion pada September 2020, disusuli persetujuan meminda had siling daripada RM45 bilion kepada RM65 bilion pada Disember.

“Ingin saya tekankan berdasarkan kedudukan semasa KWC-19, Kementerian Kewangan mengunjurkan peruntukan tahun ini tidak mencukupi untuk membiayai pakej bantuan dan rangsangan.

“Ini kerana sejumlah RM60 bilion dibelanjakan dan baki siling setakat hujung September lalu adalah berjumlah RM5 bilion saja,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Zafrul menjelaskan, anggaran perbelanjaan tambahan yang dimohon di bawah Fasal 3 RUU itu adalah RM45 bilion, selain untuk meningkatkan had siling perbelanjaan di bawah KWC-19 daripada RM65 bilion kepada RM110 bilion serta menaikkan had statutori hutang semasa daripada 60 kepada 65 peratus Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK).

Katanya, anggaran perbelanjaan tambahan itu merangkumi RM12.7 bilion bagi menampung peruntukan tambahan Program Subsidi Upah iaitu dari RM18.3 bilion kepada RM31 bilion.

“Sebanyak RM15.8 bilion pula bagi menampung peruntukan tambahan Bantuan Prihatin Nasional (PRIHATIN), Projek Berskala Kecil bagi kontraktor G1 hingga G4 (RM2 bilion), Geran PRIHATIN PKS (RM3.6 bilion) dan peningkatan had amaun Pinjaman Mikro Kredit (RM1 bilion).

“Selain itu, RM5.9 bilion adalah bagi meningkatkan Sokongan Bantuan Sosial untuk Golongan Mudah Terjejas dan RM4 bilion lagi untuk meningkatkan Peruntukan Bagi Kementerian Kesihatan (KKM) untuk perbelanjaan berkaitan Covid-19,” katanya.

Justeru, beliau berkata, kelulusan RUU itu amat penting dan memerlukan sokongan semua Ahli Parlimen kerana pandemik Covid-19 yang melanda negara meninggalkan kesan ketara, tidak terhad kepada aspek kesihatan malah menjejaskan kehidupan dan kesejahteraan rakyat Malaysia.

“Kita tiada pilihan selain meneruskan inisiatif kritikal seperti Bantuan Prihatin Nasional serta Geran Khas Prihatin dan kedua-dua ini dibiayai melalui KWC-19. Kelangsungan program pekerjaan dan perniagaan termasuk Program Subsidi Upah dan Pinjaman Mikro Kredit juga bergantung kepada peruntukan di bawah KWC-19.

“Sekiranya RUU ini tidak diluluskan, rakyat tidak dapat menerima bantuan dan manfaat untuk bangkit semula selepas mengharungi cabaran pandemik Covid-19 sejak awal tahun ini,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here