[PARLIMEN] AHLI Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad tidak berpuas hati dengan beberapa menteri kerana dikatakan tidak memberi jawapan berdasarkan soalan yang ditanya di Dewan Rakyat.
Pada masa sama, beliau berkata tanggungjawab Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun bukanlah untuk menentukan perbahasan seseorang menteri itu berkata benar atau sebaliknya.
“Betul, speaker boleh tak bertanggungjawab atas jawapan menteri, tetapi speaker juga mesti menentukan menteri menjawab soalan.
“You not responsible for the answers, kalau menteri itu bodoh, memberi jawapan yang bodoh, bodohlah menteri itu.
“Tapi kalau dia lari dari jawapan, daripada persoalan, kena ditegur,” katanya ketika bangkit mencelah perbahasan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) di Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu Dzulkefly berbahas dalam sesi Rang Undang-Undang (RUU) Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19)) (Pindaan) 2021
“Jadi dalam soal RM45 bilion tambahan ini, memang kita setuju tapi kita nak Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen diberi kuasa supaya kawalan perbelanjaan itu adalah berkesan,” kata Khalid.
Bagaimanapun, Azhar tidak cepat melatah dengan teguran Khalid itu dan kekal tenang mempengerusikan Dewan Rakyat.
Terdahulu, dalam pencelahan awalnya, Khalid menegaskan, Pakatan Harapan (PH) tetap memainkan peranan sebagai pembangkang yang bertanggungjawab.
“Pakatan Harapan tidak mengambil kesempatan perlunya dinaikkan had pinjaman kerajaan.
“Oleh itu sebagai pembangkang bertanggungjawab, bersetuju untuk tambahkan had statutori itu tetapi syaratnya kita nak tentukan adanya semak imbang yang berkesan,” katanya. – Malaysiapost

