Hapus faedah terakru beri kesan kepada pertumbuhan ekonomi negara

0
2

[PARLIMEN] KERAJAAN masih belum memutuskan untuk menghapuskan faedah terakru terhadap peminjam yang terkesan, kata Timbalan Menteri Kewangan II Yamani Hafez Musa.

Beliau berkata, terdapat permintaan daripada beberapa pihak mengenai perkara itu, namun berdasarkan perbincangan awal dengan institusi perbankan, penghapusan faedah terakru akan memberi kesan terhadap kewangan sektor terbabit, serta pemegang saham mereka.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Sipitang itu menjelaskan, kerajaan akan berusaha mencari jalan tengah terbaik, agar tidak membebankan kesemua pihak yang terlibat.

“Berkenaan pengecualian faedah terakru dalam MoU (Memorandum Persefahaman) Transformasi dan Kestabilan Politik, kepada 50 peratus rakyat Malaysia terbawah, perkara ini sedang diperincikan oleh institusi perbankan, kesan terhadap kewangan mereka dan kepentingan pemegang saham.

“Satu rumusan akan diusahakan dan diumumkan kelak. Perlu saya sebut kerajaan sentiasa prihatin dan akan pertimbangkan.

“Tetapi sebarang bentuk bantuan kerajaan harus berhemah, setara dan mengambil kira kesan jangka panjang terhadap faktor pihak berkepentingan,” katanya dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Salim Sharif (BN-Jempol) yang mahu Menteri Kewangan menyatakan implikasi faedah terakru kepada peminjam menerusi moratorium dan kesediaan kerajaan untuk meghapuskan faedah tersebut.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor), Yamani Hafez berkata, pengecualian faedah terakru mempunyai beberapa implikasi tambahan, bukan sahaja kepada institusi perbankan, malah kepada kewangan negara.

“Penilaian penarafan bank kita juga akan terjejas dan diturunkan, melihat keupayaan merka untuk jana keuntungan nanti lebih lemah. Ini menyebabkan kos pinjaman lebih mahal, dana tinggi ini akhirnya ditanggung peminjam di masa akan datang.

“Akibatnya juga banyak lagi, tetapi salah satu daripada pengecualian ini akan menyebabkan bank hadapi kesukaran dalam membayar dividen kepada pelabur serta dana institusi simpanan awam seperti KWSP, KWAP, PNB, LTAT, dan Tabung Haji,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here