
UMNO menyambut baik langkah kerajaan menubuhkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas dalam buku memoirnya.
Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata ia bagi merungkai dakwaan penyalahgunaan kuasa dalam pelantikan hakim, campur tangan badan eksekutif melampau dalam badan kehakiman, pendakwaan terpilih dan bersifat politik oleh pentadbiran kerajaan 22 bulan Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, pihaknya dimaklumkan fokus utama pasukan petugas khas itu dalam tempoh enam bulan pertama adalah untuk membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil.
“Sebab itu sebelum ini kita mengharapkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat perkara berkenaan. RCI adalah badan siasatan paling tinggi dalam negara dan syor-syor yang dikeluarkan hasil siasatan RCI perlu dipatuhi.
“Ini kerana dakwaan yang diterbit dalam buku itu suatu yang sangat serius melibatkan maruah serta keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebooknya.
Ahmad Zahid berkata seperti pernah beliau nyatakan sebelum ini, desakan supaya perkara itu disiasat bukan baharu sebaliknya telah dibuat oleh ramai pihak sejak awal tahun ini termasuk ratusan laporan polis.
Tambahnya, Umno melalui Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan turut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada 5 Februari 2021.
Selain itu, katanya, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno pada 27 Ogos lalu turut mengulangi desakan meminta kerajaan menubuhkan RCI.
“Negara perlukan jawapan kepada segala persoalan di sebalik pendedahan sama ada ‘disengajakan’ atau ‘tidak disengajakan’ menerusi buku tersebut.
“Persoalan yang terungkai malah berpotensi menjawab kepada lebih banyak persoalan kepada apa yang berlaku selepas tarikh 9 Mei 2018.
“Tetapi kerajaan baharu sekurang-kurangnya telah memulakan langkah untuk menyiasat perkara itu berbanding kerajaan terdahulu. Semoga kebenaran akhirnya terserlah,” katanya.
Kelmarin, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju menubuhkan pasukan petugas khas siasatan bagi membuat kajian awal sebelum sebarang tindakan seterusnya diambil terhadap dakwaan Tommy dalam bukunya “My Story: Justice in the Wilderness”.
Perdana Menteri berkata, pasukan petugas itu akan dipengerusikan bekas Ketua Hakim Negara yang akan dilantik dalam masa terdekat. – Malaysiapost
