PEMANTAUAN menggunakan teknologi dron membongkar aktiviti perlombongan emas secara haram membabitkan warga China dan Rohingya di Hutan Simpan Ulu Jelai, Lipis.
Aktiviti itu dikesan di Kompartmen 233 berdekatan Sungai Cheniau, Mukim Batu Yon.
Penolong Pengarah Kanan (Penguat kuasa Zon Pahang Barat) Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Azmi Mohd Zain, berkata dua warga tempatan dan tiga warga asing berusia antara 30 hingga 58 tahun, ditahan.
Memetik laporan Harian Metro, pemeriksaan pihaknya menemui sebuah palong yang digunakan untuk melombong emas termasuk pelbagai peralatan melombong, generator elektrik dan beberapa tangki minyak.
“Turut disita dua jengkaut dan enjin pam air diesel yang digunakan untuk proses menyembur bahan galian dalam palong, kenderaan pacuan empat roda dan motosikal.
“Laporan polis dibuat di Balai Polis Lipis, lima individu yang ditahan dibebaskan selepas mendapat jaminan polis oleh seorang penjamin,” katanya.
Beliau berkata, operasi selama enam jam bermula 11.40 pagi itu turut disertai pegawai Pejabat Tanah dan Daerah Lipis dan Pasukan Penguat Kuasa Unifield Pahang.
Azmi berkata, siasatan mendapati aktiviti melombong haram dilakukan sejak sebulan lalu.
Katanya, kumpulan terbabit didapati menarah tebing Sungai Cheniau sepanjang 150 ke 200 meter bagi tujuan mengambil dan memindahkan bahan galian sebelum melalui proses semburan di dalam palong.
Semua suspek ditahan dan dijangka didakwa mengikut Akta Perhutanan Negara 1984. – Malaysiapost

