Malaysia catat 47 kes baharu, 31 di Sabah

0
2

KES harian Covid-19 hari ini mencatatkan 47 kes baharu, menjadikan jumlah kes positif di Malaysia kini 9,915 kes, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Katanya, kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19 di negara ini kini 591 kes.

Beliau berkata, daripada 47 kes baharu itu, dua adalah kes import yang mendapat jangkitan di luar negara, kedua-duanya bukan warganegara.

“Daripada 45 kes penularan dalam negara, 28 kes adalah warga Malaysia manakala 17 bukan warganegara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 45 kes penularan tempatan, 31 kes dicatatkan di Sabah yang mana 22 adalah daripada Kluster Benteng LD iaitu lapan warganegara dan 14 bukan warganegara.

Katanya, empat lagi adalah kes saringan warga emas di klinik kesihatan yang melibatkan tiga warganegara dan satu bukan warga asing.

Selain itu, dua kes saringan di pusat kuarantin (bukan warganegara), satu kes saringan petugas kesihatan (warganegara), satu kes saringan Orang Kena Tahan (OKT) di Ibu Pejabat Polis Kudat (warganegara) dan satu kes Infuenza-like illness (ILI).

Di Kedah, beliau berkata, terdapat 14 kes direkodkan iaitu 13 daripada Kluster Tawar dan satu kes daripada Kluster Sungai.

“Terdapat sembilan kes positif Covid-19 yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), di mana empat kes memerlukan bantuan pernafasan.

“Tiada pertambahan kes kematian berkaitan dilaporkan pada hari ini,” katanya. – Malaysiapost