PRN kali ini mungkin yang terakhir, kata Masidi

0
2

TIMBALAN Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini mungkin yang terakhir beliau menjadi calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Karanaan, Ranau.

Beliau mula bertanding di kerusi itu pada 2004 dan mempertahankannya pada pilihan raya umum (PRU) 2008, 2013 dan 2018 atas tiket Barisan Basional (BN) mewakili Umno.

Pada PRN kali ini, Masidi membawa lambang Perikatan Nasional (PN), berdepan tiga calon, masing-masing dari Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno) Baru, Mohd Tajuddin Sadi; Parti Cinta Sabah (PCS), Hadzrul Masnin dan Parti Warisan Sabah (Warisan), Awasi Ganie @ Yasin Abdul Ghani.

Masidi mengingatkan penyokong dan pengundi di kawasannya bahawa beliau tetap orang Ranau walaupun tidak lagi bersama rakan politik yang lain seperti sebelum ini.

“Sememangnya kita ada perbezaan fahaman politik namun semangat ‘Kita Orang Ranau’ akan saya bawa kali ini dan mungkin ini kali terakhir saya bertanding sebagai calon, tetapi saya mahu rakyat ingat apapun perbezaan, kita kekal orang Ranau,” katanya pada Majlis Perjumpaan Bersama Penyokong PN di Ranau hari ini.

Kita Orang Ranau adalah slogan digunakan Masidi dalam kempennya kali ini untuk memastikan nilai persahabatan kekal kukuh walaupun berlainan fahaman politik.

Masidi berkata, slogan itu timbul selepas ramai masyarakat di Ranau tanpa mengira etnik menyatakan sokongan terhadapnya meskipun beliau tidak lagi menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.

“Saya bersyukur, buat pertama kalinya sejak bertanding dalam pilihan raya pada 2004, sahabat yang saya fikir selama ini akan menjauhkan diri kembali menghubungi saya menyatakan sokongan.

“Maklumlah saya bukan lagi menteri dan tidak memegang sebarang jawatan dalam kerajaan tapi saya bersyukur kepada Allah, persahabatan itu kekal mantap dalam kalangan sahabat di Ranau dan sebab itu jugalah slogan kita gunakan di Karanaan ialah ‘Kita Orang Ranau’,” katanya.

Masidi adalah bekas Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah ketika pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN). – MalaysiaPost