Tidak perlu guna MyTravelPass ke luar negara mulai esok – PM

0
2

Nilam Oshman

RAKYAT Malaysia yang melakukan perjalanan ke luar negara tidak perlu menggunakan MyTravelPass daripada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), berkuatkuasa esok.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dipersetujui kerajaan selepas program vaksinasi negara melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) mencapai kadar 90 peratus.

“Bagaimanapun, pengembara masih perlu menjalani kuarantin wajib sebaik pulang ke tanah air. Kebenaran ini juga akan mula berkuat kuasa pada 11 Oktober 2021,” katanya dalam sidang media khas, hari ini.

Beliau berkata, keputusan pemansuhan itu dibuat untuk menghubungkan ahli keluarga dan pasangan yang terpisah serta rakyat Malaysia yang ke luar negara bagi tujuan bekerja dan mereka yang menjalankan urusan perniagaan.

“Bagaimanapun, kebenaran ini tertakluk kepada individu yang lengkap divaksin,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar dan selamat, rakyat kini memikul tanggungjawab yang besar untuk mejayakan usaha ini.

“Antara langkah yang harus dilaksanakan ialah mengukuhkan tindakan kesihatan awam kendiri dengan mengamalkan TRIIS.

TRIIS merupakan perkara berikut:

a. Test – Melakukan ujian pengesanan Covid-19 secara kendiri sekiranya alami simptom-simptom jangkitan;

b. REPORT – Laporkan keputusan ujian pengesanan secepat mungkin di MySejahtera;

c. ISOLATE – Lakukan kuarantin atau pengasingan kendiri dengan segera dan penuh disiplin sekiranya didapati positif supaya tidak bahayakan orang sekeliling;

d. INFORM – Segera maklum kepada kontak rapat anda sekiranya didapati positif dan laporkan juga semua kontak rapat melalui pautan di dalam MySejahtera. Maklumkan juga kepada CAC berhampiran sekiranya situasi kesihatan diri semakin merosot semasa menjalani kuarantin di rumah; dan

e. SEEK – Dapatkan rawatan segera di pusat-pusat perubatan atau CAC berhampiran sekiranya alami gejala berat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here