Bapa dipenjara 15 tahun, 10 sebatan rogol anak OKU

0
1

SEORANG lelaki yang kudung tangan dijatuhi hukuman penjara 15 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen, Kota Bharu hari ini kerana  merogol anak perempuan yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU). 

Hakim Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh yang berusia 50 tahun itu mengaku bersalah merogol anak kandungnya yang berusia 16 tahun.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 28 September lalu, lapor MalaysiaGazette.

Mengikut fakta kes, kejadian disedari selepas mangsa mengadu kepada gurunya tentang perlakuan tertuduh, guru itu kemudian membawa mangsa ke hospital dan membuat laporan polis.

Hasil siasatan mendapati terdapat satu rakaman video memaparkan tertuduh sedang merogol mangsa. 

Video berkenaan dirakam sendiri oleh mangsa menggunakan telefon bimbit miliknya semasa kejadian kira-kira jam 11.59 malam, pada 18 Ogos lepas.

Mangsa yang mengalami kecacatan pada bahagian kakinya juga mendakwa, dia mula dirogol tertuduh sejak Mac 2017 iaitu seminggu selepas ibu tirinya meninggal dunia, serta mendakwa bapanya melakukan perkara itu kira-kira 30 kali di bilik tidur mangsa.

Tertuduh yang mengalami kecacatan kudung pada tangan sebelah kiri didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam sebuah bilik di rumahnya dekat Kuala Krai, kira-kira 11.59 malam, 18 Ogos lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan minimum 10 sebatan.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman yang ringan, bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Abu Arsalnaa Zainal Abidin memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal.

Katanya, ia sebagai pengajaran kepada tertuduh, bahawa kes yang dilakukannya adalah kesalahan serius – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here