Kerajaan Johor jamin beri kerjasama penuh isu Pulau Batu Puteh

0
3

KERAJAAN Johor memberi jaminan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu Kerajaan Persekutuan mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan, bagi semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh atau Pedra Branca.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata kerajaan negeri juga bersetuju dan akan memberikan sokongan penuh berkenaan tindakan undang-undang di bawah ‘tort of misfeasance’ ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kecuaian dan kekhilafan, kerana tidak meneruskan permohonan semakan dan pentafsiran kes berkenaan.

Justeru, katanya, kerajaan negeri mahu tindakan itu disegerakan supaya mereka yang bertanggungjawab dibawa segera ke muka pengadilan.

“Kerajaan Johor amat mengalu-alukan dan menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri yang menubuhkan tiga jawatankuasa khas, termasuk bagi menyemak semula undang-undang berkenaan kes Pedra Branca atau Batu Puteh.

“Isu tuntutan Batu Puteh antara Malaysia dan Singapura sememangnya amat dekat dengan kerajaan dan rakyat Johor, sama ada daripada segi sejarah mahupun kedudukannya kerana hampir dengan negeri ini.

“Kerajaan Johor memberi jaminan akan memberikan kerjasama dalam membantu Kerajaan Persekutuan mendapatkan pelbagai dokumen dan pandangan yang diperlukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, kerajaan bersetuju menubuh pasukan petugas khas bagi tujuan semakan semula undang-undang berkenaan isu Batu Puteh.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dilaporkan berkata, pasukan petugas khas itu akan membuat kajian menyeluruh, meneliti dan mencadangkan opsyen-opsyen yang bersesuaian dengan mendapatkan pandangan daripada pakar undang-undang antarabangsa. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here