SEBANYAK 206 kes daripada 9,751 kes positif Covid-19 yang direkodkan hari ini adalah kategori tiga, empat dan lima atau hanya meliputi 2.1 peratus.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, selebihnya adalah kategori satu dan dua iaitu 9,545 kes (97.9 peratus).
Beliau menjelaskan, tempat kerja terus merekodkan pertambahan kluster tertinggi iaitu enam daripada 10 kluster diikuti dua kluster komuniti, manakala kumpulan berisiko tinggi dan pendidikan tinggi masing-masing satu kluster.
Menurutnya, tempat kerja melibatkan dua di Selangor, manakala Kuala Lumpur, Perak, Melaka dan Johor masing-masing satu kluster.
“Kluster komuniti pula melibatkan dua di Pahang, satu kluster kumpulan berisiko tinggi di Kelantan dan satu kluster pendidikan tinggi di Kuala Lumpur.
“Jumlah itu menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 874 kluster, manakala 4,696 kluster tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dr. Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan penurunan kes positif Covid-19 iaitu 9,751 kes berbanding semalam, 9,890 kes.
Ianya disusuli jumlah kes sembuh sekali lagi merekodkan jumlah kes jangkitan harian iaitu 12,724, manakala 792 pesakit direkodkan menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 386 pesakit memerlukan bantuan alat pernafasan.
Sementara itu, beliau berkata, kes kematian di negara ini merekodkan peningkatan semalam iaitu 132 kes berbanding kelmarin, 105 kes.
Rekod itu adalah setakat jam 7 petang hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes kematian direkodkan sebanyak 26,981 kes. – Malaysiapost

