TIGA individu kini diburu polis kerana dipercayai terbabit dengan kes pemalsuan dokumen surat aku janji bagi menjalankan urusan pertukaran mata wang asing dengan menyalahguna nama Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata pihaknya menerima laporan polis dibuat Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor, semalam.
Menurutnya, laporan polis itu berkaitan pemalsuan dokumen ‘Letter of Undertaking’ menggunakan nama TMJ membabitkan urusan pertukaran mata wang dolar Amerika Syarikat (USD) yang mencecah USD5 trilion.
“Dokumen terbabit didapati dikeluarkan dan ditandatangani seorang wanita tempatan bergelar Datuk Seri mendakwa mendapat mandat daripada TMJ untuk menjalankan urusan tukaran mata wang asing itu kepada ringgit bernilai USD 200 bilion sehingga USD 5 trilion.
“Hasil semakan menerusi laman www.istiadat.gov.my mendapati penama yang bergelar Datuk Seri itu tidak berdaftar sebagai individu yang mempunyai gelaran Datuk Seri.
“Malah dia adalah suspek dalam kes penipuan ‘Draf Bank of Tokyo’ pada tahun 2011,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, selain wanita terbabit polis turut mengesan dua lelaki tempatan yang dipercayai terbabit dalam kegiatan itu.
“Urusan itu membabitkan penggunaan akaun bank atas nama seorang lelaki tempatan, selain semakan ke atas seorang lagi lelaki yang bertindak sebagai proksi adalah seorang peguam.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun dan boleh dikenakan sebatan dan denda.
“Orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu yang kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak Istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi mengelakkan penipuan sebegini,” katanya. – Malaysiapost

