Pelaksanaan PRN Melaka dimuktamadkan minggu hadapan

0
1

TEKA-TEKI sama ada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan ditangguhkan, atau sebaliknya akan terjawab pada minggu hadapan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan membuat keputusan minggu hadapan, sama ada akan menasihatkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat di Melaka bagi menangguhkan PRN.

Menurutnya, Sultan Nazrin dalam proses mendapat taklimat daripada beberapa pihak berhubung perkara berkenaan, sebelum membuat keputusan.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga membincangkan isu PRN Melaka dalam mesyuarat hari ini, namun tiada sebarang keputusan.

“Tadi kita adakan mesyuarat Kabinet, dan bincang tentang situasi di Melaka. Kita belum membuat sebarang keputusan lagi.

“Ini kerana saya difahamkan Pemangku Yang di-Pertuan Agong akan mendapatkan taklimat daripada Peguam Negara, Kementerian Kesihatan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Jadi kita tunggulah selepas taklimat kepada Pemangku Yang di-Pertuan Agong. Kabinet akan membuat keputusan minggu depan,” katanya selepas majlis Pra Pelancaran Keluarga Malaysia, di Auditorium Perdana, Wisma Radio Angkasapuri, hari ini.

Terdahulu Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam bersetuju membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Ke-14, berkuatkuasa Isnin lalu.

Pembubaran itu susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, sekaligus menyebabkan hilang majoriti dan tumbangnya kerajaan negeri.

Mereka yang menarik sokongan adalah ADUN Sungai Udang, Datuk Seri Idris Haron; ADUN Pengkalan Batu, Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Telok Mas, Datuk Noor Effandi Ahmad dan ADUN Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here