POLIS Diraja Malaysia (PDRM) sedang menguji penggunaan kenderaan mewah jenis BMW dan Volkswagen selama dua minggu.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, berkata lima unit kenderaan mewah itu diterima PDRM hanya untuk uji cuba atau peringkat pembuktian konsep (POC) selama dua minggu.
Beliau berkata, keputusan untuk mengguna pakai lima kenderaan model BMW M3 dan Volkswagen Tiguan itu belum dimuktamadkan.
“PDRM pada masa ini hanya menggunakan kereta berkenaan selama dua minggu sebagai percubaan tanpa apa-apa perjanjian.
“Tujuannya untuk kita mendapat maklum balas sama ada kegunaan kenderaan ini sesuai atau tidak bagi sebarang penugasan dalam PDRM,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.
Beliau berkata demikian susulan tular di media sosial gambar lima kenderaan mewah itu yang dilengkapi aksesori sebagai kenderaan polis.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, jabatannya bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) serta cawangan pengiring akan menggunakan kenderaan itu dalam dua minggu ini.
“Ingin dijelaskan di sini, penggunaan kenderaan ini adalah sebagai uji cuba atau POC selama tempoh dua minggu yang ditawarkan oleh sebuah syarikat kepada PDRM dan tiada sebarang urusan pembelian dilakukan.
“Kita akan uji kenderaan ini sebelum sebarang keputusan untuk penggunaannya diputuskan PDRM kelak, bukannya dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata, polis sedia maklum dengan kekangan kewangan dihadapi kerajaan semasa pandemik, namun tawaran syarikat berkenaan sekadar untuk uji cuba. – Malaysiapost

